12 Disember 2015

Watak Novel Ain Maisarah (SIRI Aku Mahu)

Hai kawan-kawan, nama saya Al, nama panjang Alif Askandar, tuan presiden Trio ABC. Alif sahaja ya, bukan Alif Ba Ta. Sejak menang pertandingan dan hasilkan novel sendiri, warga Sri Bangsar sudah panggil saya Alif Novelistar. Err, malu pula rasanya. Mujurlah Bel sering berikan sokongan minta “Amin!!” sahaja. Terpaksa la saya mengikut, maklumlah adik saya itu memang sukakan populariti. Walaupun yang popular itu saya, (opsss!) baginya dia pun popularlah juga.Maklumlah kami ini kembar.

Saya memang suka menulis, pantang ada masa terluang dan mengadap laptop, laju sahaja jari jemari saya menaip patah-demi-patah perkataan di papan kunci. Kalau menulis blog, berjela-jela… dari satu bahagian ke satu bahagian. Dari satu cerita ke satu cerita. Agaknya kerana mulut saya yang tidak suka bercakap, jadi saya suka bercerita melalui tangan sahaja.
Lagi satu, saya suka memerhati apa yang berlaku, sebab itulah kadangkala kepala saya jadi pening-pening lalat kalau saya tidak keluarkan semula. Berbeza sungguh dengan Si Bella itu. Kalau dia selalu bercakap pot pet tidak berhenti, sayalah yang jadi tukang menadah telinga. Cempaka pula….. Ehem, Cempaka memang seorang kawan yang baik hati. Pandai adik saya memilih kawan kiki emoticon

Eh eh, saya berhenti di sini dahulu ya. Nanti kalau saya terus menulis, habis pula semua kisah saya terbongkar. Siapa-siapa yang mahu berkenalan dan bercerita dengan saya, sila-silalah hantar email kepada saya ya. Nanti kita boleh sambung bercerita.


Hello girls! Nama saya ialah Alyia Farziana! Alyia ya! Bukan Alia, bukan Alya, tapi Alyia! Jangan ada yang tersilap eja pula. Alya dan Alia tidak sama dengan Alyia. Alyia Farzana ini ialah ketua kumpulan The Prettybabes! Flips hair* 

Dalam buku Aku Mahu jadi Selfiestar, saya mengaku memang sibuk tergila-gilakan Airin Selfiestar kerana mahu terkena tempias orang popular. Iyalah, mahu dekat The Wannababes, tidak mampu! Jadi kita perlu naikkan nama secara berperingkat. Lagipun, The Wannababes akan tamat persekolahan di Sri Bangsar tidak lama lagi, maka The Prettybabes pula akan meneruskan legasi!

Di kesempatan ini, saya juga ingin mengirimkan beribu ciuman terbang kepada ahli-ahli The Prettybabes iaitu Cuna dan Meera kerana kekal menyokong saya dari dahulu hingga kini. We are BFFTJ! Apakah itu BFFTJ? Maknanya, best friend forever til Jannah! Mmuaahh!



Selamat berkenalan semua! Nama saya Syuhada Aini! Saya merupakan pelajar Tingkatan 5A di Sekolah Sri Bangsar. Jangan tidak tahu, saya ini ialah pemakai tudung labuh yang ayu. Oleh kerana tahun ini ialah tahun terakhir saya di Sri Bangsar maka saya memang giat berkempen agar Geng Tudung Labuh di Sri Bangsar terus bersambung warisannya dan tidak pupus agar nama saya terpahat di ingatan semua sebagai pengerusi tertinggi Geng Tudung Labuh!

Dalam buku Aku Mahu jadi Hijabistar, saya pernah bermusuh dengan Farah dan Ina. Saya memang ANTI sangat dengan puak-puak Hijabistar yang mahu popular dengan stail hijab mereka yang pelik-pelik itu! Jikalau hendak bertudung, mestilah menuruti hukum syarak. Bukannya sebab mahu menarik perhatian ramai. Bukankah sudah lari daripada tujuan asal bertudung iaitu memelihara maruah diri dan menjaga aurat? Marahnya saya! Sabar...sabar itu sebahagian daripada iman.


Assalamualaikum, hai awak semua yang comel cikepom-cikepom! Nama saya Surihanim, boleh panggil Suri sahaja. Siapa yang pernah pembaca buku Aku Mahu jadi Hijabistar, mesti ingat-ingat lupa siapa saya bukan? Untuk pengetahuan Blinkers, saya ialah sepupu kepada Shazarina binti Azman ataupun Ina yang merupakan watak utama dalam siri ‘Aku Mahu’ untuk menjadi popular dan hijabistar! 

Ina memanggil saya sebagai Kak Long Suri. Sewaktu kami kecil dahulu, kami memang sangat rapat! Ayah saya ialah Pak Busu kepada Ina. Saya juga ada seorang adik, Solehin namanya dan kacak pula! Saya tinggal di Melaka bersama ayah dan pernah menyambung pengajian di sebuah kolej di Kuala Lumpur. Aktiviti yang paling saya gemari ialah berenang sebab ayah saya sudah melatih saya sejak kecil lagi.


Klik! Klik! Mari selfie! Hai kawan-kawan! Nama glamour saya ialah Airin Selfiestar; pelajar Sri Bangsar yang paling gila selfie! Di sana selfie, di sini selfie, pendek kata, di mana sahaja ada pencahayaan yang baik, walau di dalam tandas sekalipun, saya akan tetap selfie!

Airin ada seorang kawan baik yang bernama Haness. Kami pernah bersama-sama menjayakan Projek Fesyen, namun dalam misi menjadiSelfiestar, kami langsung tidak sehaluan lagi. Geram dan cemburu pula apabila Haness ada lebih ramai pengikut di Instagram berbanding saya.

Sejak itu, Afdlin pula menjadi pengganti untuk mendengar luahan hati! Ibu Airin, Puan Rasilah memang garang orangnya. Airin mahu belajar bersolek pun tidak kasi.. tapi Airin selalu mendapat sokongan daripada adik lelaki Airin yang namanya sahaja sudah kedengaran seperti kacak, Aron Azis! Mukanya? Hmm bolehlah! Eh, eh, ada orang ajak Airin berselfie pula, lain kali kita berborak lagi ya! Klik! Klik! Jangan lupa like gambar Airin di Instagram ya!



Hai, salam penuh makna dari Dubai! Ewah, kenapa Dubai? Sebenarnya sekarang ini Haness berada di Dubai sempena Minggu Fesyen Islam Antarabangsa. Haness beruntung mendapat tiket ini kerana memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Busana Muslimah di Sekolah Sri Bangsar. Haness sangat gembira dan mahu ucapkan terima kasih kepada kawan-kawan baik iaitu Airin, Deena, Athirah dan Ainul Mardiha! Tanpa mereka, Haness pasti berseorangan dalam misi menceriakan jubah yang sudah luntur dek clorox!

Sebenarnya, Haness baru sahaja bertudung setelah menyertai pertandingan tersebut. Walaupun ibu Haness, Puan Juita tidak bertudung, tapi ibu tetap menyokong niat murni Haness untuk memakai tudung. Tapi nampaknya semenjak di Dubai ini, ibu kelihatan seperti sudah berjinak-jinak mahu berhijab pula! Wee seronoknya! Baiklah, Haness minta diri dahulu. Mahu bershop-pink di Kota Dubai!


Assalamualaikum murid-murid! Nama saya Cikgu Ghazali. Saya adalah guru mata pelajaran Sains. Selain itu, saya juga merupakan guru penasihat rumah Merah. Walaupun usia saya sudah agak lewat, tetapi saya masih bujang trang tang tang ya! Hehehehe

Di sekolah, para pelajar memanggil saya Cikgu Ghazali yang miang sejak azali. Adakah patut mereka memanggil saya dengan panggilan sebegitu? Murid-murid sekarang memang tidak tahu menghormati guru! Kononnya saya ini pantang melihat pelajar yang cantik dan berdahi licin seperti The Wannababes.

Saya bukannya sengaja mahu menangkan The Wannababes, tetapi saya kasihan mahu memarahi mereka. Mereka itu pelajar perempuan, kaum yang lemah dan perlu dibela. Lebih-lebih lagi ahli kehormat yang bernama Linda itu. Apabila matanya dikelip-kelipkan memohon simpati, saya memang tidak sampai hati dibuatnya. Aduhai Linda, manis sungguh wajah kamu. Tambahan pula, mereka itu semua anak-anak orang kenamaan. Tidak beranilah saya hendak mencari fasal dengan mereka. Silap haribulan,saya dihantar mengajar di kawasan pedalaman pula.



Apa khabar semua. Salam perkenalan. Nama saya Mohd. Azhar bin Syed Suleiman seorang pelajar nerd Sekolah Sri Bangsar. Mengapa pula saya kata saya ini pelajar nerd? Lihat sahajalah cermin mata saya yang tebalnya hampir sepuluh inci ini. Sudahlah begitu, rambut saya pula tidak boleh digayakan dengan stail lain selain daripada gaya belah tengah. Memang tidak bergaya langsung! 

Untuk pengetahuan semua, saya telah diiktiraf oleh semua pelajar dan guru-guru sebagai pelajar terbaik Fizik di Sekolah Sri Bangsar yang sangat elit ini. Fizik? Kacang sahaja. Tanya sahaja sebarang soalan berkaitan mata pelajaran Fizik, saya boleh jawab sambil pejam mata sahaja. Oleh kerana kepakaran saya dalam bidang Fizik ini jugalah saya dilantik menjadi jurulatih atlet rumah Hijau. Saya memberi tips-tips berguna dari sudut saintifik kepada atlet rumah Hijau. Itulah cara saya menyumbang kepada rumah sukan. Hendak berlari, tulang kaki saya sendiri tidak kuat.

Di sekolah, saya ada meminati seorang pelajar perempuan. Siapa lagi kalau bukan Betty. Kenapa saya suka Betty tetapi tidak Fasha atau Sasha The Wannababes? Kami sebenarnya mempunyai banyak persamaan. Yang paling ketara tentulah persamaan cermin mata kami! Sama-sama pandai. Sama-sama comel pula itu. Tetapi, saya terpaksa berdepan dengan pesaing utama yang juga turut meminati Betty iaitu Helmi. Ish, geram betul saya dengan Helmi. Yalah, Helmi itu lebih kacak, sudah bekerjaya, malah lebih tua pula berbanding saya. Tungulah suatu hari nanti saya pasti akan menjadi sebagus atau lebih hebat daripada Helmi! Walaupun Betty tidak memilih saya, saya tetap akan menjadi pelindungnya!



Assalamualaikum semua! Assalamualaikum dunia! Bard Badzli in the house! Kalau mahu tahu, saya ini adalah watak kedua terpopular dalam siri nomik Lawak Sekolah. Apa? Nera si raksasa itu lagi popular? Ah, tidak boleh dimaafkan!

Saya ini anak buah kepada Prof Dori yang sangat pandai mereka cipta. Saya ini anak tunggal, jadi sejak kecil saya suka tonjolkan diri. Cita-cita saya mahu jadi superstar! Biar ramai orang kenal saya dan saya tidak sendiri lagi. Kadang-kadang jadi anak tunggal ini sunyi…

Tetapi, sejak Robita dicipta, saya rasa sangat gembira! Robita adalah adik dan kawan baik saya. Walaupun perangai dia itu kadang-kadang mengada-ngada, tetapi kami kawan baik selamanya! Saya selalu bantu Robita untuk lawan rasa takut dia. Saya juga harap Robita jadi robot yang hebat. Bolehlah kami sama-sama popular nanti! Hehe!

Oh ya, biar saya cerita lagi pasal diri saya… Eh, apa yang bergerak-gerak ini? LIPAS?! Ah, tidak! Lipas! Lipas dalam baju saya! Sesiapa, cepat bawa pistol, bawa kapak! Bunuh lipas ini cepat! Ahhhhh!



Hello! Hai! Robita di sini! Kenal tidak? Saya inilah watak utara (watak utama) dalam siri nomik Lawak Sekolah. Saya sebenarnya ada simpan satu bohsia (rahsia)… saya ini bukanlah manusia, saya robot tulen! Prof Dori yang cipta saya. Shhh… diam-diam tahu!

Selain sepupu saya, Bard Badzli (yang kacak & bergaya) dan keluarga dia, Prof melarang saya beritahu orang lain tentang hal ini. Prof kata, kalau manusia tahu saya ini robot, sesuatu yang papaya (bahaya) akan berlaku! Ah, takutnya!

Sebab itu jugalah saya takut mahu ke sekolah! Di sekolah ada banyak manusia yang saya tidak kekal (kenal). Paling beruk (teruk), di kelas saya ada ‘seekor raksasa’ bernama Nera Elena yang garang (bengis, ganas & berjerawat). Ah, saya selalu dibuli olehnya!

Harap-harap satu hari nanti saya dapat jadi robot lebat (hebat) dan tidak penakut lagi! Yosh! Robita boleh!

(segala kesalahan ejaan di dalam teks ucapan ini telah diedit oleh Bard Badzli)



Assalamualaikum dan selamat berkenalan. Nama saya Manjalara binti Mansor. Nama manja saya ialah Manja. Saya belajar di dalam dalam kelas 5F. Saya merupakan anak yatim piatu. Ayah saya sudah lama meninggal dunia. Ibu saya yang bernama Manjakani Binti Ahmad Kana atau lebih selesa dipanggil Mak Manja pula baru sahaja meninggal dunia. Saya kini hidup sebatang kara bersama adik lelaki saya yang bernama Aman Damai bin Mansor. Tetapi saya memanggilnya Adik Man sahaja.

Saya ini seorang yang pendiam dan pemalu. Sebab itulah saya sukar berkawan rapat dengan ramai orang di Sekolah Sri Bangsar. Tambahan pula, saya ini hanya anak orang miskin yang tinggal di kawasan setinggan Bangsar. Tentu sahaja sukar bagi saya menyesuaikan diri di sekolah yang elit seperti Sri Bangsar ini.

Di sekolah, saya selalu menjadi mangsa buli The Wannababes. Tetapi itu kisah silam yang tidak perlu diingat lagi. Saya sebenarnya sangat berterima kasih kepada The Wannababes, kerana tanpa kuasa veto dan idea gila-gila mereka, sudah tentu saya tidak dapat menyembunyikan Adik Man di sekolah.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Amnah yang sudi membantu saya meringankan beban tanggungan pelajaran dan menjadikan Adik Man sebagai anak angkat. Tidak sangka guru yang kelihatan garang dan tegas di itu sebenarnya sungguh baik dan lembut hatinya. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan berusaha mendapatkan wang sendiri supaya dapat terus hidup tanpa membebankan orang lain lagi.


Apa khabar semua? Nama saya Liyana Binti Jasmot. Boleh panggil saya Liyana sahaja. Saya adalah anak bongsu kepada Mak Cik Sharepah. Ya, Mak Cik Sharepah, pengusaha kantin yang handal memasak itu. Sayalah anak perempuannya.

Saya belajar di dalam kelas 4 Bougainvilla atau 4 Brilliant. Tinggi saya ialah 157cm dan berat saya pula 54.8kg. Mungkin ramai berkata saya ini bertubuh normal dan tidak gemuk. Tetapi saya risau dengan usikan rakan-rakan saya yang berkata saya mungkin bakal mewarisi genetik ibu saya yang bertubuh gempal itu. Takutnya saya! Saya tidak mahu jadi gemuk! Di rumah pula ibu selalu menyuruh saya makan. Saya lebih rela berlapar daripada menjadi gemuk.

Hendak dijadikan cerita, Cikgu Aini, kaunselor Sekolah Sri Bangsar pula pernah terserempak dengan perbuatan saya menjolok tekak dan memuntahkan makanan yang saya makan. Disebabkan itu, saya menjadi semakin cengkung dan kurus. Cikgu Aini bimbang saya mendapat penyakit bulimia dan aneroksia. Akhirnya saya terpaksa menyertai program Skim Paksaan Makan.

Berkat usaha ibu saya, saya menjadi sedar tentang kepetingan pemakanan seimbang dalam kehidupan seharian. Tambahan pula, saya ini pelajar. Tentulah perlu makan untuk mengekalkan tumpuan di dalam kelas. Biarlah tidak bertubuh saiz S, asalkan saya sihat sejahtera.


Assalamualaikum kepada saudara saudari sekalian alam semesta. Nama saya ialah Umie Aidah. Jawatan saya di Sekolah Sri Bangsar ialah Penolong Ketua Pengawas. Tetapi saya lebih suka menganggap diri ini sebagai Ketua Pengawas Sekolah Sri Bangsar. Bagi saya, ketua pengawas Hairiri Othman tidak wujud langsung di dalam sekolah ini. Siapa tidak kenal dengan saya di Sekolah Sri Bangsar? Walaupun saya bukanlah ahli The Wannababes, saya tetap popular tetapi di dalam keadaan yang berbeza.

Ada pelajar di Sekolah Sri Bangsar gelarkan saya sebagai singa betina dan kuku besi namun saya langsung tidak kisah kerana sayalah pengawas yang paling berkuasa, berkarisma, berwibawa dan berani! Tidak dinafikan, semua pelajar gerun dengan saya termasuk kucing-kucing di kantin sekolah. Oleh itu, saya bangga sekali menjadi pengawas paling garang setaraf mak tiri Cinderella di Sekolah Sri Bangsar ini. Peraturan tetap peraturan! Tidak ada seorang pun pelajar Sekolah Sri Bangsar boleh melanggarnya hatta sekecil kuman. Hmm...tetapi, kegarangan saya ini akan reda dan sejuk hati apabila melihat lelaki berkopiah. Tidak tahulah mengapa. Mungkin itulah ciri-ciri lelaki idaman saya.

Saya memang dilahirkan dalam keluarga yang tegas dan berdisiplin. Ibu saya, Puan Erma Fatimah merupakan Pengerusi Yang DiPertua Persatuan Ibu-Ibu Hebat Kuala Lumpur. Saya memang bangga dengan ibu saya. Suatu hari nanti jika saya ditakdirkan sebagai salah seorang ahli politik seperti ibu saya, jangan lupa undi saya. Majulah pengawas untuk sekolah!

Sebenarnya, saya menyimpan satu rahsia yang tidak diketahui oleh pelajar lain di Sri Bangsar. Saya merupakan antara pelajar di sekolah yang dikesan mengalami sindrom aneroksia dan bulimia. Saya ini bertubuh kurus kering, tetapi sangat mementingkan hal pertambahan berat badan. Bukan apa, saya takut menjadi gemuk. Sudahlah garang, gemuk pula. Nanti tiada siapa yang mahukan saya. Ish! Minta dijauhkan!


Hai, semua. Nama penuh saya ialah Wilma Mia binti Johan. But you can call me Wilma. Saya berumur 17 tahun, seorang yang tegas dan berkeyakinan tinggi. Saya ialah ketua pengarang sidang redaksi majalah Sekolah Sri Bangsar. Namun sayangnya, walaupun jawatan saya besar tetapi saya tidak dapat menulis artikel utama seperti yang saya idam-idamkan selama ini terutamanya tentang The Wannababes.

Hal ini disebabkan Cikgu Nazha memberi tugas tersebut kepada Betty si gigi besi itu! Senior sidang redaksi hanya mengendalikan majalah sekolah sahaja. Geram sungguh saya dibuatnya! Walaupun Cikgu Nazha bersungguh tidak membenarkan semua senior sidang redaksi tidak terlibat dengan buletin, tetapi saya tetap akan masuk campur dan menewaskan Betty satu hari nanti! Saya sanggup melakukan apa sahaja untuk menyingkirkan Betty dari sidang redaksi dan waktu itu saya akan berkuasa semula untuk menulis buletin utama buat tatapan semua warga Sekolah Sri Bangsar!

Jika Betty terus-terusan menjadi ketua buletin, memang habis rahsia saya akan pecah berderai. Saya mempunyai banyak masalah sekarang. Walaupun saya ada tiga kawan baik iaitu Norisha, Zizy dan Eqin namun mereka tetap tidak dapat menolong saya.

Hmm....bagaimanalah agaknya untuk saya menjatuhkan Betty dan menutup jejak jenayah saya dalam masa yang sama? Tetapi, saya bukanlah insan yang cepat patah semangat. Saya ialah Wilma Mia binti Johan yang berkuasa dan tidak akan pernah berputus asa walau badai melanda! Tunggulah! Zaman kejatuhan awak akan tiba juga satu hari nanti Betty!


Hai, kawan-kawan! Nama saya Bettylina bt Sharwez. Tapi rakan sekelas saya hanya memanggil saya dengan nama Betty sahaja. Saya berumur 16 tahun dan belajar di kelas 4B. Saya memiliki ketinggian tepat 150 cm. Saya juga seorang yang pemalu dan tidak berkeyakinan namun siapa sangka saya dilantik sebagai Ketua Buletin bagi kelab sidang redaksi majalah Sekolah Sri Bangsar. 

Saya memang sangat meminati dunia penulisan dan pernah memenangi pertandingan menulis cerpen PTS One.
Pada mulanya, saya bimbang juga mahu memimpin sidang redaksi yang ramai ahlinya. Tetapi, berkat sokongan kawan-kawan dan pasukan buletin saya, saya semakin berani membuat keputusan. Disebabkan saya adalah ketua buletin Sri Bangsar, maka saya selalu muncul di dalam novel Siri Gosip Sri Bangsar.

Saya mempunyai ayah dan seorang kakak bernama Batrisya. Kami berasal dari Melaka dan memiliki darah Portugis. Ibu saya pula sudah lama meninggal dunia. Memang sedih kerana saya sentiasa rindukan ibu saya. Tetapi mujurlah saya mempunyai kakak dan ayah yang selalu mengambil berat tentang diri saya. Saya juga mempunyai teman tapi mesra iaitu Helmi. Hehehe. Eh, malu pula saya. Lebih baik saya tumpukan perhatian kepada pelajaran dahulu buat masa ini.

Di sekolah saya suka berkawan dengan sesiapa sahaja. Cuma saya berasa sedih kerana Kak Wilma selalu dingin sahaja dengan saya. Dahulu dia yang melantik saya, tetapi kini kami selalu bergaduh dan bercanggah pendapat. Rupa-rupanya, saya mendapat tahu bahawa Kak Wilma sengaja cuba mensabotaj saya! Walaubagaimanapun, kedinginan Kak Wilma tidak akan menghalang saya supaya terus memberi kelainan dan keunikan untuk buletin Sekolah Sri Bangsar ke tahap yang terbaik!


Assalamualaikum semua. Nama saya Cikgu Norah Danash. Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris. Saya ini kecil molek sahaja orangnya. Tetapi, jangan salah sangka dengan saiz tubuh saya yang kecil ini. Saya ini boleh tahan juga garangnya. Walaupun tidak segarang Cikgu Amnah, tetapi garanglah juga.

Saya merupakan antara guru termuda di Sekolah Sri Bangsar. Tetapi saya sudah berkahwin. Belum sampai setahun lagi usia perkahwinan saya. Boleh dikira pengantin baru jugalah. Saya agak fobia dengan mereka yang berstatus anak dara tua. Maklumlah, jiran saya yang bernama Fasah Senah itu selalu sahaja curi-curi pandang ke arah suami saya. Bukan boleh percaya sangat dengan golongan anak dara tua sekarang ini.

Walaupun saya ini sudah berkahwin, tetapi saya selalu sahaja disuruh menjadi guru pengiring untuk aktiviti luar sekolah. Saya sendiri tidak faham mengapa asyik saya sahaja guru perempuan yang diminta menjadi guru pengiring. Walhal, guru-guru wanita lain ramai yang masih bujang. Program pertukaran pelajar ke Sarawak saya pergi, pertukaran pelajar ke Vietnam juga saya yang diperintahkan mengiringi pelajar.

Agaknya kerana usia saya yang muda, maka stamina saya lebih kuat. Guru wanita lain walaupun masih bujang, tetapi kebanyakan sudah lebih berusia. Apalah nasib saya ini asyik berjauhan dengan suami sahaja. Tidak mengapalah, demi pelajar saya sanggupkan juga. Moga-moga suami saya kekal setia walaupun saya selalu jauh di mata.


Apa khabar semua! Nama saya Irfan Khairiri. Saya merupakan pelajar 5 Anggerik atau 5 Amazing. Saya juga merupakan salah seorang pelajar harapan sekolah kerana kepakaran saya dalam bidang komputer dan teknologi. Saya sering diminta oleh para guru untuk membantu dalam hal-hal yang berkaitan komputer. Disebabkan itu, saya diberi gelaran Bill Gates Sri Bangsar dan menyandang jawatan Presiden Kelab Komputer.

Sejak kecil, saya memang sudah didedahkan dengan pelbagai jenis gadget dan komponen komputer. Saya memang obses dengan teknologi seawal usia 9 tahun. Tatkala rakan-rakan seusia saya memegang permainan seperti Ultraman dan kereta mainan, saya pula menerima hadiah komputer daripada bapa saya.

Ayah saya merupakan seorang jurutera elektrik. Beliau memang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bagi terhadap minat saya. Pernah satu ketika dahulu, saya menggodek-godek komputer hadiah hari jadi saya itu sehingga tertanggal semua komponennya. Ayah saya langsung tidak marah, malah mengajar saya jenis-jenis komponen tersebut secara terperinci.

Saya berharap sangat satu hari nanti saya dapat menjadi jutawan muda seperti Mark Zuckerberg yang mengasaskan Facebook, Matt Mullenweg yang melopori laman WordPress dan juga Angelo Sotira yang memperkenalkan laman Deviantart. Kesemua mereka menjadi jutawan berdasarkan kepakaran mereka dalam bidang teknologi. Tidak mustahil, saya juga mampu berdiri sebaris dengan mereka jika saya berusaha bersungguh-sungguh!


Hai semua. Nama saya Aaron bin Dato’ Hamiron. Ibu saya bernama Didie Alisa dan saya ada seorang adik bernama Fazelin. Saya juga ada dua orang bibik yang diberi nama Bibik ChaCha dan Bibik Fafai. Tetapi saya lebih rapat dengan Bibik Fafai kerana Bibik ChaCha itu jenis yang suka bergosip dan tidak boleh menyimpan rahsia.

Di Sekolah Sri Bangsar, saya belajar di dalam kelas 5 Flora. Saya juga merupakan seorang atlet. Ya, saya seorang atlet! Apa? Saya tidak popular seperti atlet sekolah yang lain? Memanglah….ini kerana saya merupakan atlet sukan gimnastik. Ya, sukan yang memerlukan saya meliuk lentuk seperti jeli. Sebab itu jugalah badan saya ini kurus kering seperti papan playwood sahaja. Leper dan langsung tidak berotot. Kalau menyarung baju pula, hanya saiz M dan S sahaja yang muat. Kadang-kadang ada baju yang bersaiz kanak-kanak yang boleh saya muat! Begitulah kurus keringnya tubuh saya ini.

Sepanjang 5 tahun saya bersekolah di Sekolah Sri Bangsar, saya tidak pernah merasai nikmat populariti mahupun dikenali oleh para pelajar lain. Jangan-jangan rakan setingkatan saya juga ada yang tidak mengenali saya. Walaupun saya berpangkat anak Dato’ dan memiliki lesung pipit sedalam 5 milimeter di pipi, tetapi saya langsung tidak pernah menerima perhatian ramai pelajar. Saya sering dikategorikan sebagai lone ranger sahaja.

Berada sekelas dengan atlet seperti Fahrin dan Yusrizal yang sasa dan perkasa benar-benar mencabar keyakinan diri saya. Mereka sering mengejek dan memperkecilkan saiz tubuh saya yang kurus kering dan leper ini. Aduhai, bilalah agaknya saya boleh memiliki tubuh berotot yang sasa seperti Fahrin dan Yusrizal agaknya? Hmmm…~


Assalamualaikum semua! Nama saya Ahmad Badwi bin Abdullah. Saya baru sahaja balik dari latihan kadet polis sekolah. Agak letih sedikit tetapi berbaloi kerana semua masalah saya telah selesai selepas menyertai pasukan kadet polis. Masalah berjerawat saya kian berkurangan. tidak perlu bersusah payah merancang untuk pergi ke New York Skin Solutions lagi.

Waktu dahulu, saya suka melepak di perpustakaan sebab mahu membaca buku kisah percintaan sahaja. Contohnya, bagaimana mahu memikat perempuan. Tetapi, setelah peristiwa hitam saya disergah bagaikan halilintar dan dimalukan semalu-malunya hingga masuk YouTube oleh Diana The Wannababes, saya tekad untuk tidak memikat mana-mana perempuan di sekolah lagi. Ini kerana saya tahu, itu hanyalah perbuatan yang sia-sia dan tidak bermoral bagi pelajar sekolah.

Sekarang, saya lebih tumpukan pelajaran, penampilan diri supaya tidak buruk macam hantu kum kum seperti dahulu lagi dan juga mahu cemerlang dengan gemilangnya dalam kokurikulum. Jadi untuk pelajar lelaki di luar sana yang pernah mengalami putus cinta atau dimalukan hinggakan tidak larat bangun kembali, kita sebenarnya masih ada harapan untuk berubah menakluk dunia. Jika dulu kita hodoh, jangan gusar. Kita masih boleh jadi kacak bergaya seperti Zac Efron.

Baiklah, saya perlu bersiap-siap untuk solat pula. Malam nanti, saya mahu ke gimnasium untuk naikkan otot lengan seperti Fahrin! Harap-harap, Diana The Wannababes tidak jatuh hati pada saya pula apabila tubuh saya sudah sasa dan berotot bagaikan abang sado nanti.


Hai! Nama saya Siti Nurhalizawati binti Harudin. Bukan, saya bukan klon mahupun adik kepada diva tersohor tanah air Dato’ Siti Nurhaliza itu. Walaupun saya ini mungkin memiliki kemanisan wajah yang serupa dengan beliau, tetapi kami tidak ada kaitan darah langsung ya. Saya juga dikenali dengan panggilan Siti Soya kerana ada pelajar tingkatan 1 yang pernah tertumpahkan segelas besar air soya di atas kepala saya. Memang kurang ajar sungguh! Tidak fasal-fasal nama Siti Soya itu melekat dengan saya.

Saya merupakan pelajar kelas 5F. Saya seorang yang lemah lembut, bersopan santun dan berperwatakan ayu setiap masa. Orang kata saya ini dramatik. Saya bukannya dramatik, tetapi saya berjiwa halus. Saya mudah tersentuh dan mudah panik. Saya juga seorang yang berjiwa seni dan suka mengeskpresikan perasaan saya. Maklumlah, saya ini memang berdarah seni. Mungkin satu hari nanti boleh menjadi pelakon teater ataupun penyanyi terkenal!

Di sekolah, saya sering digosipkan dengan Cikgu K atau nama penuhnya Cikgu Kamaruzzaman. Katanya kami ini sesuai sungguh bagaikan pasangan Datuk K dan Dato’ Siti Nurhaliza. Oh, sekali lagi saya dikaitkan dengan penyanyi terkenal itu. Tetapi, misai Cikgu K itu memang mengancam sungguh. Sekali pandang nampak kacak, dua kali pandang nampak berwibawa pula! Hehehe

Kalau hendak tahu, saya juga sebenarnya pernah menghantar surat cinta kepada Cikgu K. Sebenarnya itu adalah rahsia terbesar saya. Tetapi entah bagaimana Fazura The Wannababes itu boleh mendapat tahu pula. Oh, saya tidak boleh membiarkan perkara ini diketahui ramai! Nanti tentu akan menjadi bahan gosip sensasi!


Hai semua! Sakitnya kaki tersadung batu, siapakah kucing yang comel dan gebu itu? Tentulah yang comel dan gebu itu Milo! Tetapi, tidak mungkinlah Milo boleh tersadung batu pula. Maklumlah, Milo ini kucing terbang. Apa? Kucing boleh terbang? Tentulah boleh. Di Alam Dongeng ini semuanya boleh. Milo bukan sahaja boleh terbang, malah boleh bercakap juga. Milo memang kucing ajaib!

Milo merupakan seekor ejen pari-pari di alam dongeng. Milo perlu membantu Fizz dan Tizz menyelesaikan 10 kes di alam dongeng sebelum Fizz dibenarkan bebas ke dunia nyata. Tetapi, mereka berdua itu memang tidak boleh diharap. Semuanya mahu bergantung dengan Milo sahaja. Mentang-mentanglah Milo ada kantung magis yang boleh mengeluarkan pelbagai barang ajaib. Maklumlah, Milo memang hebat dan ajaib.

Fizz dan Tizz juga sering berkata bahawa Milo ini bermulut murai dan lancang. Adakah patut Milo yang comel ini disamakan dengan burung murai? Mereka juga selalu kata Milo ini suka berlagak dan mencari gaduh. Milo tidak berlagak. Milo cuma memberitahu fakta sebenar tentang betapa hebatnya diri Milo kerana memiliki otak yang tahu serba-serbi bagaikan ensiklopedia. Hendak buat macam mana? Memang sudah kenyataannya begitu.

Oh ya! Milo juga sangat suka makan ikan bilis. Ikan bilis adalah santapan paling lazat di alam dongeng! Milo boleh makan seberapa banyak ikan bilis sehingga perut kembung. Tetapi, Milo ada satu kelemahan. Milo ini ada sejenis penyakit yang digelar penyakit melatah. Tizz suka mengusik Milo dengan mencucuk pinggang Milo yang bulat ini sehingga termelatah Milo dibuatnya. Kawan-kawan jangan buat begitu ya. Kalau kamu buat Milo melatah, nanti Milo cakar muka kamu semua.

Di hari yang mulia ini, Milo ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilifitri kepada semua! Milo mahu menyusun sepuluh jari Milo yang gebu ini memohon ampun dan maaf. Tengoklah, comel bukan Milo berbaju Melayu lengkap dengan sampin sekali. Kawan-kawan beraya elok-elok ya. Jangan main mercun dan meriam ya. Nanti Milo terkejut dan melatah pula.


Assalamualaikum dan hai semua! Saya Tizz Tiranah dari kelas 4 Flora. Saya merupakan anak kedua kepada Puan Hajah Zabedah, ketua panitia Matematik Sekolah Sri Bangsar. Saya juga merupakan satu-satunya adik perempuan kepada Fizz Fazlullah. Abang saya sedang koma dan terperangkap di Alam Dongeng. Dia perlu menyelesaikan 10 misi sebelum dibenarkan pulang ke dunia nyata. Tidak mengapa! Saya ada di sisi untuk membantunya menyelesaikan semua misi tersebut!

Saya ini seorang yang ceria, banyak bertanya dan sedikit emosional. Dapatlah juga saya menceriakan suasana sewaktu membantu menyelesaikan misi di Alam Dongeng. Maklumlah, abang saya itu memang serius sedikit orangnya! Berbeza dengan abang saya yang berkulit sawo matang, saya lebih cerah dan berkulit kuning langsat. Saya bertudung dan bermata redup. Sejuk sahaja mata memandang. Hehehe

Saya suka membaca, suka berangan dan sangat suka dengan kisah dongeng! Kalau hendak tahu, saya memiliki koleksi anak patung puteri-puteri dongeng saya sendiri. Sebab itulah apabila pertama kali saya mengetahui bahawa abang saya terperangkap d alam dongeng, saya memang sungguh gembira dan teruja! Nasib baik juga saya menemui jalan masuk ke alam dongeng di perpustakaan bawah tanah itu. Dapatlah saya menjadi ejen pari-pari dan membantu abang saya di sana. Jika tidak, tidak tahulah bagaimana abang saya yang sungguh bencikan kisah dongeng itu mahu menyelesaikan 10 misi seorang diri.

Oh ya! Saya sebenarnya ada fobia dengan belon. Lebih-lebih lagi belon yang besar dan penuh berisi angin. Saya paling tidak suka sekiranya belon itu pecah dan meletup dengan kuat. Pasti saya akan menjadi separuh histeria. Jadi, janganlah cuba-cuba mahu meniup belon di hadapan saya.


Assalamualaikum! Hai semua. Nama saya Fizz Fazlullah. Saya merupakan pelajar kelas 5C iaitu 5 Cermai atau 5 Cool. Saya berkulit sawo matang, berambut lurus dan memiliki lesung pipit. Haaa kalau hendak tahu, wajah saya ini memang manis sungguh.

Saya juga merupakan anak sulung kepada Puan Hajah Zabedah, guru Matematik di Sekolah Sri Bangsar. Ibu saya itu juga merupakan ketua panitia Matematik di sekolah. Disebabkan itu juga, saya ini boleh tahan cekap dalam subjek berkenaan. Maklumlah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Saya juga ada seorang adik perempuan yang cerewet bernama Tizz Tiranah.

Saya cukup tidak suka dengan kisah-kisah dongeng yang merepek dan tidak masuk akal itu. Disebabkan itu jugalah saya terperangkap di Alam Dongeng. Untuk pengetahuan semua, saya sebenarnya sedang koma akibat kemalangan dan perlu menyelesaikan sebanyak 10 kes di Alam Dongeng sebelum dibebaskan ke dunia nyata. Di sana, saya memegang jawatan sebagai ejen pari-pari yang membantu menyelesaikan pelbagai kes kisah dongeng. Harap-harapnya cepatlah saya menyelesaikan 10 kes tersebut.


Assalamualaikum semua. Mahu makan apa? Di kantin mak cik ini ada menghidangkan pelbagai jenis hidangan yang dijamin kebersihan dan kelazatannya. Oh, lupa pula hendak kenalkan diri. Nama mak cik ialah Sharepah. Mak cik adalah pengusaha kantin di Sekolah Sri Bangsar. Sudah lama jugalah mak cik berniaga di kantin sekolah ini. 

Sebagai pengusaha kantin, mak cik perlu bijak mempelbagaikan jenis hidangan yang dijual. Barulah pelajar tidak bosan. Mak cik jamin, masakan mak cik ini memang setaraf hotel lima bintang! Kalau tidak, mana mungkin Fasharina anak Tan Sri Hisham itu menjadi pelanggan setia kantin mak cik? Selalunya dia memang menempah makanan tengah hari di kantin mak cik. Bangga sungguh mak cik rasa.

Mak cik sangat menyanyangi binatang. Mak cik pernah menyelematkan seekor kucing buta yang menjadi penunggu setia di kantin bernama Kenot Kenot. Sekarang, Kenot Kenot bahagia tinggal bersama mak cik. Selama bekerja di kantin Sekolah Sri Bangsar, memang mak cik tidak pernah menimbulkan masalah. Cuma ada sekali itu, mak cik telah dtuduh menyediakan minuman air Milo ais yang tercemar sehingga mengakibatkan para pelajar sakit perut sewaktu acara merentas bandar. Tetapi, mak cik yakin itu semua hanyalah tuduhan tidak berasas! Manakan tidak? Mak cik sentiasa mengutamakan kebersihan dalam penyediaan makanan. Tidak mungkin makanan yang disediakan mak cik boleh tercemar.

Anak mak cik juga bersekolah di Sekolah Sri Bangsar. Namanya Liyana Jasmot. Tetapi, mak cik langsung tidak tahu bahawa anak mak cik itu mempunyai masalah peribadi berkaitan dengan berat badan sehingga dipaksa menyertai Skim Paksaan Makanan yang diletakkan di bawah tanggungjawab mak cik! Adakah patut anak pengusaha kantin tidak suka makan? Rupanya anak mak cik sendiri terlalu menjaga makan kerana mahu kekal kurus keding. Katanya ada pelajar yang mengatakan bahawa anak mak cik itu memiliki siratan genetik gemuk dan sihat seperti mak cik. Amboi! Kalau mak cik dapat siapa yang menyebarkan perkara karut itu, memang mak cik cilikan mulut mereka!

Mak cik berharap sampai bila-bila juga mak cik akan kekal sebagai pengusaha kantin di sekolah ini. Mak cik berjanji akan meningkatkan mutu makanan yang dihidangkan di kantin Sekolah Sri Bangsar. Biar semua guru dan pelajar tahu kehebatan Mak Cik Sharepah dalam bidang masakan.


Hai semua! Saya Syazel Zulkarnain. Saya pelajar tingkatan 5 Flora di Sekolah Sri Bangsar. Hobi saya pada waktu lapang ialah makan…makan…dan MAKAN! Saya paling suka mengunyah coklat dan gula-gula. Bagi saya, coklat bagaikan terapi yang mampu menghilangkan kesedihan di hati saya.

Mengapa pula saya hendak sedih? Kerana teman istimewa saya iaitu Mimi Monira yang comel-comel gebu itu sudah dibuang sekolah dari Sri Bangsar. Semuanya gara-gara dia dibuli oleh The Wannababes yang perasan bagus itu! Apa hina sangatkah orang berbadan gemuk seperti kami ini? Walaupun kami berbadan gemuk, tetapi kami tidak menyusahkan orang lain. Mengapa mahu menghina dan samakan kami seperti badak air dan badak sumbu pula? Hish! Marah betul saya dibuatnya.

Ibu saya, Puan Syazelina juga sering mengajak saya keluar berjogging. Tetapi saya sendiri memang malas hendak bergerak. Apa guna berjoging di luar sana jika kemudiannya diberikan pandangan pelik penuh mengejek daripada masyarakat sekeliling? Lebih baik saya mengunyah coklat di dalam bilik sahaja.

Saya sebenarnya tidak menyangka bahawa Cikgu Amnah, guru paling garang di Sri Bangsar mahu membantu saya mengatasi masalah kegemukan saya. Beliau jugalah yang gigih bersungguh-sungguh mengadakan program menguruskan badan supaya saya boleh mencapai saiz XL. Rupa-rupanya dalam kegarangan beliau itu, masih terselit rasa prihatin di dalam hatinya. Saya tidak akan melupakan jasa Cikgu Amnah yang memperkenalkan gaya hidup yang lebih sihat dalam kehidupan saya sekarang. Kalau Mimi Monira ada tentu dia juga berasa bangga dengan saya. Hmmm…..~


Hai, nama saya Mimi Monira binti Mokhtar.Tidak hairanlah kalau ramai yang tidak mengenali saya. Maklumlah, saya cuma sempat bersekolah di Sekolah Sri Bangsar kurang daripada 2 bulan sahaja. Siapalah yang mahu berkawan dengan saya yang badannya mencecah 106 kilogram ini? Kalau ada pun hanyalah Syazel Zulkarnain sahaja yang sudi menerima saya seadanya. Oh, Ultraman Nexus ku. Kaulah hero ku!

Kehidupan saya di sekolah Sri Bangsar tidak pernah aman. Sejak hari pertama ditempatkan di kelas 5F, saya terus diejek dan dibuli sehingga menerima nama gelaran Mimi Monira Badak Air pula. Kemudian, kerana kesilapan saya duduk di meja VIP dan memanggil nama kumpulan The Wannababes dengan panggilan The Banana Babes, teruk saya dikerjakan mereka. They made Sri Bangsar like a living hell for me! Walaupun saya berjaya memalukan mereka di padang sekolah, tetapi saya pula terpaksa menerima hukuman buang sekolah.

Dendam saya kepada mereka memang tidak pernah padam. Pada mulanya memang puas hati saya dapat menjebakkan mereka dengan Sayrikat Impiana yang durjana itu. Tetapi, walaupun begitu, saya masih lagi manusia biasa yang punya hati. Selepas apa yang berlaku, saya rasa The Wannababes sudah sedar dengan kesilapan yang mereka lakukan sewaktu di sekolah dahulu. Ingat ya kawan-kawan semua, buat baik dibalas baik. Buat jahat, mungkin kita akan menerima balasan jahat berkali ganda! Jadi, berbuat baiklah sesama manusia ya.


*gambar sekadar hiasan
Sumber: lutherniel.deviantart.com
Hey boys and girls! Mari dengar cerita hangat dari mulut si penyampai gosip paling meletup di Sri Bangsar! Siapa lagi kalau bukan saya yang bernama Ritah Ridaini ini. Siapa yang tidak kenal saya memang dia bagaikan katak di bawah tempurung. Saya adalah pelajar tingkatan 5F iaitu 5 Flora atau nama popularnya, 5 Fantastic!

Watak saya ini sering muncul sebagai ahli gosip dan kaki busy body yang suka mengambil tahu hal semua orang. Saya juga memang sudah biasa menjadi pekerja upahan The Wannababes melaksanakan misi-misi jahat mereka. Sebut sahaja perihal sabotaj mana yang tidak saya laksanakan untuk The Wannababes? Memasukkan julap ke dalam tong minuman rumah sukan lain sewaktu hari sukan, menukar air sirap Mimi Monira dengan air garam. Huh, semuanya saya lakukan dengan begitu berjaya sekali.

Boleh dikatakan saya ini tali barut paling dipercayai oleh The Wannababes kerana sering disuruh menjalankan pelbagai tugasan. Saya pula tidak kisah. Siapa yang tidak mahu bergesel bahu dengan The Wannababes? Saham saya juga yang akan mencanak naik nanti. Walaupun saya pernah berperang dingin dengan Sazzy, salah seorang ahli The Wannababes kerana berebut atlet kacak bernama Fauzi Nawawi, tetapi saya tidak peduli. Tidak dapat menjadi ahli mereka juga tidak mengapa, dapat duduk menyibuk satu meja dengan mereka juga sudah cukup! Saya memang jenis bermuka tebal dan tidak tahu malu. Hahaha...



*gambar sekadar hiasan
Sumber: http://touch.pixiv.net/member_illust.php?mode=medium&illust_id=33954198
Hello semua! Amboi! Comelnya kucing berbulu putih yang gebu itu! Saya suka! Saya suka! Eh, terlupa pula. Nama saya Amanda Krishna. Saya adalah gadis kacukan Inggeris-India. Kalau diikutkan, saya ini masih lagi baru di Sekolah Sri Bangsar. Sewaktu awal tahun tingkatan 5 baru saya mendaftar di sekolah ini. Namun, saya tiada masalah bergaul dengan cepat kerana saya ada keistimewaan tersendiri yang membuatkan saya menerima ramai kawan-kawan baru.

Haaa hendak tahu apakah keistimewaan saya? Sudah tentulah kepakaran saya dalam bidang menjaga dan memelihara haiwan peliharaan! Kalau semua sudah baca novel Jutawan Gedik, pasti awak semua tahu sehingga ke hari ini saya mempunyai 22 ekor kucing pelbagai baka, 57 ekor hamster yang comel-comel, 8 ekor iguana dan 32 ekor ikan koi yang berwarna warni!

Saya memang sangat sukakan binatang sejak saya berusia 7 tahun lagi. Maklumlah, saya tiada adik beradik. Maka, binatang-binatang peliharaan inilah yang saya jadikan teman. Bermula dengan sepasang kucing berbaka Norweigian Forest, keluarga kucing saya berkembang besar sehingga sekarang. Tentulah semuanya berkat kerajinan saya menjaga kucing-kucing tersebut.

Hendak memelihara haiwan perlukan ilmu pengetahuan dan kesabaran yang tinggi. Barulah semuanya sihat-sihat belaka.
Bermula sebagai minat, koleksi binatang peliharaan saya semakin lama semakin banyak pula. Jiran-jiran saya juga ada yang berminat dan mahu membeli haiwan peliharaan saya. Sudahnya, saya jadikan hobi saya ini sebagai pendapatan sampingan. Kawan-kawan juga jika ada hobi yang menarik, teruskanlah minat dengan bersungguh-sungguh. Manalah tahu boleh dijadikan pendapatan sampingan juga.



*gambar sekadar hiasan
Sumber: deviantart/ainosora
Hai, Semua! Nama saya Maznah binti Hamidi. Saya ialah ketua kumpulan Yummylicious untuk cabaran RM1 Juta bersama Kelab Jutawan Sri Bangsar kelolaan Cikgu Putra itu.

Saya memang sangat suka memasak dan membakar pelbagai jenis kek. Kalau boleh, satu hari nanti saya mahu menjadi sehebat ibu saya iaitu Chef Maimunah yang menerima gelaran Iron Chef Malaysia selama 3 tahun berturut-turut! Saya juga teringin mahu mempunyai rancangan masakan sendiri seperti ibu saya. Oh! Tentu seronok sekali!

Saya memang tidak kekok berada di dapur. Seawal usia muda, saya memang sudah biasa terdedah dengan dunia masakan. Di saat kanak-kanak perempuan lain sibuk bermain anak patung, saya sibuk bermain senduk dan tepung mempelajari pelbagai resipi. Saya memang menjadikan ibu saya sebagai idola. Manalah tahu, Cikgu Putra yang kacak itu juga akan terpikat dengan kek buatan saya yang gebu dan lazat ini. Hehehehe...



*gambar sekadar hiasan
Sumber: galleryhip.com
Hai semua! Nama saya ialah Wobert Wiok. Nama panggilan manja teman-teman di sekolah pula ialah Wiwi. Saya rasa satu sekolah sudah tahu betapa cenderungnya saya terhadap bidang perniagaan. Maklumlah, sejak kecil lagi saya memang sudah didedahkan dengan hal-hal berkaitan perniagaan oleh ayah saya yang memiliki kedai menjual ubat-buat tradisional Cina. Sejak kecil juga saya mengamalkan pengambilan herba seperti ginseng dan sup burung layang-layang. Sebab itulah saya bijak dan pandai.

Saya merupakan ketua kumpulan 3K iaitu singkatan kepada ‘Kumpulan Kami Kaya’ di dalam misi mengumpul RM1 Juta menerusi cabaran Kelab Jutawan Sri Bangsar. Disebabkan saya memiliki pengetahuan di dalam bidang ubat-ubatan tradisional, saya mendapat informasi yang sangat berharga mengenai khasiat enzim cicak tokek. Itulah modus operandi kumpulan saya. Menjual cicak tokek!

Sebut tentang cicak tokek, teringat pula saya dengan budak perempuan yang mahu berselfie dengan cicak tokek saya di dalam novel Aku Mahu Jadi Selfiestar sehingga terlepas cicak berharga ribuan ringgit itu dibuatnya. Huh! Sakit betul hati saya.Tetapi, saya tidak akan berputus asa mencapai cita-cita saya menjadi jutawan. Sejak berumur 10 tahun, itulah cita-cita saya. Biarlah orang ketawakan saya setiap kali mendengar cita-cita saya itu. Satu hari nanti, apabila saya benar-benar menjadi jutawan, barulah terkunci mulut mereka semua!



*gambar sekadar hiasan
Sumber: idKawanimut
Assalamualaikum semua. Apa khabar? Nama saya Syed Putra bin Syed Hatta. Kamu semua boleh memanggil saya Cikgu Putra sahaja. Saya mengajar subjek Perdagangan di Sekolah Sri Bangsar. Selain itu, saya juga adalah guru penasihat Kelab Usahawan yang telah saya berikan penjenamaan semula dan ditukar namanya menjadi Kelab Jutawan.

Kalau diikutkan, sejarah hidup saya memang agak tragis. Arwah bapa saya bernama Dato’ Paduka Syed Hatta Syed Jamilullail meninggal dunia di dalam nahas helikopter. Walaupun saya dikatakan pewaris tunggal Hatta Holdings, syarikat gergasi Bumiputera yang terkenal, tetapi saya tidak mendapat walau satu sen pun warisan harta keluarga saya. Semuanya dibolot oleh pak cik dan mak cik yang tamak haloba. Silap saya juga kerana hanya tahu bermain dan bergelumang dengan kemewahan. Sudahnya, diri sendiri yang merana.

Tetapi, itu semua kisah lalu. Saya kini sungguh seronok menjadi guru di Sekolah Sri Bangsar. Para pelajar juga nampaknya senang dengan kehadiran saya di sekolah itu. Walaupun saya masih baru, tetapi terasa dialu-alukan pula.

Untuk pengetahuan semua, saya memang jenis yang sangat menjaga penampilan. Mungkin kerana sudah terbiasa dari kecil agar sentiasa tampil bergaya, maka di sekolah juga saya tidak lepas bergaya segak. Apabila penampilan kita kemas, maka para pelajar juga turut berselera mahu memandang kita. Oh ya! Baru-baru ini saya telah mendapat gelaran Cikgu Paling Pembersih sewaktu Hari Guru. Saya memang seorang yang sangat mengutamakan kebersihan, terutamanya sewaktu mahu makan. Bagi saya, setiap orang perlu bertindak menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Bukankah kebersihan adalah sebahagian daripada iman? 
Emotikon smi



*gambar sekadar hiasan
Sumber: pinterest.com
Assalamualaikum murid-murid! Nama saya Cikgu Haizi. Saya mengajar subjek Matematik di Sekolah Sri Bangsar. Saya juga merupakan guru penasihat Kelab Sains dan Matematik. Hah! Mengapa kamu lambat masuk kelas? Sudahlah lambat, kerja rumah tidak siap pula! Saya memang cukup pantang dengan pelajar yang lewat masuk kelas dan tidak menyiapkan kerja sekolah!

Walaupun usia saya sudah agak lanjut, tetapi saya masih lagi bujang dan belum berkahwin. Hendak buat macam mana? Susah hendak mencari lelaki yang boleh diharap zaman sekarang ini. Amboi, sedapnya mengata saya anak dara tua ya? Kamu didenda berdiri di atas meja!

Ramai pelajar berkata Cikgu Amnah adalah guru paling garang di Sri Bangsar. Huh! Saya juga tidak kurang hebatnya. Sebut sahaja nama saya, tentu para pelajar kecut perut. Kalau Cikgu Amnah dikatakan singa betina, garang saya pula sama tahap dengan harimau bintang! Jangan berani hendak mencari fasal dengan Cikgu Haizi ya. Buruk padahnya nanti!



*gambar sekadar hiasan
Sumber: www.prophetpbuh.com
Assalamualaikum wahai pelajar-pelajar sekalian. Saya Cikgu Aini, guru kaunselor di Sekolah Sri Bangsar. Sebagai kaunselor, saya memang bertanggung jawab membantu para pelajar menyelesaikan masalah peribadi yang mengganggu pelajaran mereka.

Kalau masih ingat, saya jugalah yang memberikan cadangan mengadakan program Pembimbing Rakan Kurus untuk Kelab Saiz XL dan kumpulan The Size S. Saya juga yang membantu melaksanakan program Skim Paksaan Makanan untuk pelajar yang disyaki menghidap penyakit obses mahu kurus. Apa sahaja yang melibatkan masalah pelajar, saya pasti akan membantu dengan tangan terbuka.

Saya memang tidak suka marah-marah dan meninggikan suara kepada para pelajar. Sebagai guru kaunseling, saya perlu bijak menangani pelbagai kerenah pelajar yang memeningkan. Rasanya, saya adalah antara guru paling sabar dan lemah lembut di Sekolah Sri Bangsar. Di dalam novel Cikgu Paling Berhantu, saya juga dinobatkan sebagai Cikgu Paling Amanah sewaktu Hari Guru. Walaupun saya tahu banyak rahsia sensasi di Sri Bangsar, tetapi saya tidak suka menghebahkan perkara tersebut. Contohnya rahsia tentang seorang ahli The Wannababes yang menipu tentang status diri. Eh, siapakah ahli yang menipu itu? Tidak bolehlah saya beritahu kerana ia adalah maklumat sulit pelajar. Boleh dikira melanggar etika kerja saya jika saya bocorkan.

Semuanya saya lakukan demi mendapatkan kepercayaan pelajar. Jika tidak, mereka tidak akan berkongsi masalah dan saya tidak dapat membantu mereka. Kalau anda semua ada masalah, temuilah Cikgu Aini di bilik bimbingan dan kaunseling ya.



*gambar sekadar hiasan
Sumber: cliparts.co
Assalamualaikum semua! Kini tibalah giliran saya memperkenalkan diri. Sayalah guru lelaki paling sporting di Sri Bangsar iaitu Cikgu Kamaruzzaman atau lebih glamour dipanggil Cikgu K. Jangan fikir The Wannababes sahaja mahu glamour, saya juga boleh tahan glamour ya. Disebabkan itu jugalah saya digosipkan dengan pelajar yang bernama Siti Nurhalizawati! Semua gara-gara nama gelaran Cikgu K itu. Katanya, Siti Nurhaliza berpasangan dengan Dato’ K, Siti Nurhalizawati pula dengan Cikgu K! Alahai, layan sahajalah karenah para pelajar ini semua.

Saya pernah muncul di dalam beberapa buah novel seperti Aku Mahu Popular, Aku Mahu Buli dan Aku Mahu Jadi The Wananbabes. Saya mengajar subjek Sejarah dan juga Pendidikan Sivik. Saya tahu subjek Sejarah itu bosan kerana semuanya fakta semata-mata. Jadi, saya selalu juga berjenaka di dalam kelas dan menyampaikan cerita dengan gaya penglipur lara. Barulah para pelajar tidak bosan.

Para pelajar juga ramai yang mengatakan bahawa wajah saya ini mirip dengan pelawak terkenal, arwah Harun Salim Bachik itu. Tidak mungkinlah begitu. Mana mungkin wajah saya seiras artis. Mungkin kerana saya suka bergurau dengan mereka, justeru mereka menggelarkan saya guru pelawak pula. Saya tidak kisah hendak bergurau dengan pelajar, asalkan ada batasnya. Apa yang penting, mereka masih menghormati saya sebagai guru dan memahami apa yang saya ajarkan.



Hey you all! Nama saya Tengku Huda binti Tengku Bahrin. Biasanya orang memanggil saya Huda sahaja. Itu yang berdiri di sebelah kanan Hana itu sayalah. Saya muncul buat pertama kalinya di dalam novel Aku Mahu Saiz S, seterusnya di dalam novel Aku Mahu Teman Tapi Mesra. Saya juga merupakan ahli kehormat kumpulan The Size S bersama Hana dan Nita. Kumpulan kami ini sama hebatnya dengan The Wannababes. Maklumlah, kami semua ini cantik dan kaya seperti mereka juga. Bezanya, kami lebih berpotensi menjadi model terkenal seperti Aleeza Kasim!

Saya memiliki darah keturunan susur galur Sultan Johor. Jangan berani-berani mencari fasal dengan saya ya. Saya juga amat meminati Tengku Affin, Tom Cruise Sri Bangsar itu. Maklumlah, kami berdua sama berdarah keturunan raja dan berpangkat Tengku. Tentulah secocok dan sepadan sekali.

Saya gemar membaca majalah hiburan seperti URTV dan Media Hiburan. Warna kegemaran saya adalah merah jambu! I love pink! So sweet just like me! Saya juga suka menonton rancangan seperti American Next Top Model. Cita-cita saya memang mahu menjadi seorang model. Menerusi rancangan itu, dapatlah saya mempelajari tenik permodelan secara tidak langsung.

Sebenarnya, saya ada hati juga dengan pelajar baru bernama Zaidi Zed itu. Tetapi, kami bagaikan langit dan bumi! Memang tidak sesuai dan secocok langsung! Biarlah Edrina menjadi teman rapat Zaidi. Saya pula mahu setia dengan Tengku Affin sahaja. Hehehehe


Hello everyone! Nama saya Nita Munira binti Dato’ Azmi. Tetapi orang ramai memanggil saya Nita sahaja. Saya muncul di dalam novel Aku Mahu Saiz S dan Aku Mahu Teman Tapi Mesra. Saya juga merupakan anggota kumpulan The Size S bersama Hana dan Huda. Kalau hendak tahu, saya yang berdiri di sebelah kiri Hana itu.

Saya memiliki darah kacukan Cina dari sebelah ibu saya. Disebabkan itulah wajah saya ini putih melepak dan mulus sahaja. Memang serupa dengan ibu saya! Saya juga tidak suka makanan pedas dan bersantan. Saya lebih suka makan salad, fish and chip serta hidangan barat yang lain.

Pengalaman menjadi mentor di dalam Program Pembimbing Rakan Kurus memang merupakan kenangan paling berharga buat saya. Selain menjadi mentor kepada Widya, saya juga mendapat rakan baru. Kumpulan kami sudah bergabung menjadi kumpulan The Normal Size. Ada bagusnya juga, saya ini bukanlah jenis berotak kancil. Apabila ada Edrina, Widya dan Umi di dalam kumpulan tersebut, bertambah baguslah keputusan peperiksaan saya.


Hey all! Saya Sri Hana binti Dato’ Jamil. You can call me Hana. Saya adalah presiden kelab The Size S di Sekolah Sri Bangsar. Ahli-ahlinya pula terdiri daripada rakan-rakan saya iaitu Nita dan Huda. Haaa....yang berdiri di tengah-tengah itulah saya. Kumpulan saya ini tidak sama seperti The Wannababes yang perasan popular itu ya. Kami ada matlamat yang lebih jelas iaitu mahu menjadi model! Maklumlah, kami semua ini langsing dan tinggi lampai laksana model.

Sebut tentang The Wannababes, hati saya jadi sakit pula tiba-tiba. Maklumlah, dahulu saya merupakan ahli termuda dalam The Wannababes. Tetapi, disebabkan sepupu Fasha itu bertindak memilih Shasha sebagi timbalan, saya terus menarik diri. Sedangkan sayalah yang lebih layak kerana lebih dahulu menganggotai The Wannababes! Dia memang tidak adil!

Bapa saya bernama Dato’ Jamil dan ibu saya bernama Datin Rozi. Ibu saya memang jaguh bab bergaya. Saya juga banyak belajar dari beliau. Ibu juga selalu berpesan agar menjaga makan. Jangan sampai lemak degil terlekat di pinggang. Say no to nasi lemak! Saya harap ukuran badan 36-24-36 ini akan kekal selamanya.

Saya muncul buat pertama kalinya di dalam novel Aku Mahu Saiz S. Siapa tidak ingat peristiwa kami membuli protégé kami iaitu Kelab Saiz XL itu untuk menguruskan badan? Tetapi itu kisah lama. Kami juga sudah berbaik. Malah, kumpulan The Size S sudah bergabung dengan mereka dan membentuk kumpulan The Normal Size. Gabungan kami yang cantik dan mereka yang bijak itu memang memberikan aura yang kuat sekali. Barulah saya faham mengapa The Wannababes begitu ramai ahlinya. Lebih ramai lebih meriah!


Apa khabar semua? Nama saya Widya binti Ibrahim. Namun, saya lebih mesra dipanggil dengan nama Wiwid. Saya belajar di dalam kelas 4B bersama rakan-rakan baik saya Edrina dan Umi. Saya juga muncul di dalam novel Aku Mahu Saiz S dan Aku Mahu Teman Tapi Mesra. Yang kecil molek di tengah-tengah itu sayalah.
Ketinggian saya ini tidak pernah berubah sejak tingkatan 1 iaitu sebanyak 158cm sahaja. Sudahlah begitu, berat saya pula apabila ditimbang tepat-tepat 80kg! Tidak dapat dibayangkan betapa gemuknya saya sebelum mencapai tubuh saiz M yang sekarang ini. Patutlah saya dipanggil gergasi oleh pelajar lain. Huhuhu nasib baiklah sekarang berat saya hanyalah 60kg sahaja. Turun sebanyak 20kg! Memang sungguh mengujakan!
Saya ada seorang adik perempuan bernama Wilma yang suka menyibuk dengan hal peribadi saya. Disebabkan perangainya yang busy body itu jugalah saya dapat bertentang mata dengan rakan siber saya iaitu, Mr. LobakLobak. Oh, Mr LobakLobak saya sangat rindukan awak! Tidak mengapa, saya berjanji akan mengotakan janji kita. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dahulu sebelum memikirkan soal perasaan. Pelajaran itu lebih penting berbanding cinta.


Hai semua! Nama saya Umi Rohana binti Usman. Nama panggilan mesra pula ialah Umi. Sayalah yang berdiri di sebelah kanan itu. Saya pernah membintangi novel Aku Mahu Saiz S dan Aku Mahu Teman Tapi Mesra. Saya belajar di dalam kelas 4B bersama dengan sahabat baik dunia akhirat saya iaitu Edrina dan Widya.

Saya memiliki ketingian 165cm dan pernah memiliki berat badan mencecah 82kg! Oh apabila diingatkembali saiz badan saya yang dahulu itu memang sangat menakutkan. Nasi b baiklah kini berat saya hanyalah 66kg sahaja. baju juga sudah muat saiz L! Memang satu pencapaian membanggakan.

Saya sangat suka memasak. Sebut sahaja masakan apa semuanya saya boleh laksanakan. Disebabkan itu juga saya mendapat gelaan chef daripada rakan-rakan saya. Saya juga berperanan seperti ibu yang lemah lembut dan sopan santun. Sayalah juga yang menjadi orang tengah jika Edrina dan Widya mahu memulakan sesi gusti. Haih, bersabar sahajalah dengan karenah mereka berdua itu.

Bapa saya bernama Encik Usman dan ibu saya pula bernama Puan Arfah. Saya ada seorang abang bernama Razif yang suka menyuruh saya sesuka hati. Mentang-mentanglah dia abang! Tetapi, melalui abang saya itu jugalah saya bertemu dengan jejaka yang sanggup menerima saya seadanya iaitu Ikmal. Tetapi, saya tidaklah mahu memikirkan soal cinta dan perasaan buat masa sekarang ini. Pelajaran itu lebih penting. Saya mahu mendapat keputusan cemerlang bersama rakan-rakan saya dari kumpulan The Normal Size!




Assalamualaikum semua! Nama saya, Edrina binti Jamaludin. Tetapi, kawan-kawan saya memanggil saya dengan panggilan Ed sahaja. Saya berdiri di sebelah kiri sekali di dalam gambar ini. Saya pernah muncul di dalam novel Aku Mahu Saiz S dan Aku Mahu Teman Tapi Mesra. Saya juga pernah muncul sebagai watak sampingan di dalam novel Perang Rumah Sukan.

Saya merupakan salah seorang ahli sidang redaksi buletin tingkatan 4. Saya belajar di dalam kelas 4B bersama rakan-rakan baik saya iaitu Widya dan Umi. Kalau hendak tahu, saya ini berdarah kacukan Melayu-Inggeris! Tetapi lidah saya tetap masih sukakan gulai tempoyak dan sambal belacan. Saya orang Malaysia sejati ya.

Ayah saya bernama Jamaludin dan Ibu saya pula bernama Jamilah. Saya ada tiga orang adik perempuan yang bernama Ezriza, Emilia dan Enirna. Kami sekeluarga memang memiliki genetik tubuh badan yang besar. Saya sendiri berketinggian 163cm dan memiliki berat 83.1kg. Mungkin kerana darah keturunan Inggeris di dalam tubuh kami membuatkan rangka tulang kami sedikit besar.

Saya bersama dua orang kawan saya iaitu Widya dan Umi dilabel sebagai ahli kumpulan Kelab saiz XL. Saya juga pernah digelar sebagai gergasi hanya kerana tubuh saya yang bersaiz XL! Tetapi, itu kisah dahulu. Saya kini sudah ramping bertubuh saiz L! Berat saya juga sudah berkurangan menjadi 67kg berkat usaha menguruskan badan di bawah program Pembimbing Rakan Kurus. Terima kasih saya ucapkan kepada mentor saya iaitu Hana dari kumpulan The Size S yang banyak memberi tunjuk ajar. Kami kini juga sudah bergabung menjadi kumpulan The Normal Size! Saiz bukanlah segalanya. Jiwa yang bersih itu yang penting.




Selamat sejahtera semua! Nama saya Cikgu Amnah. Hah! Kenapa pula ada yang terkekek-kekek ketawa di belakang sana? Kamu mahu dikenakan hukuman? Jangan main-main dengan saya ya! Saya memang pantang sekiranya melihat ada pelajar yang melanggar disiplin sekolah. Maklumlah, saya ini menyandang jawatan guru disiplin dan guru hal ehwal pelajar. Jadi, saya perlulah mengambil tahu hal semua pelajar. Siapayang tidak kenal dengan Cikgu Amnah Jambul Kembang ini? Satu kilometer sudah boleh terasa aura saya.

Sebut tentang jambul kembang saya ini, teringat pula saya dengan kisah 20 tahun dahulu yang tidak dapat saya lupakan. Dahulu, saya tidaklah garang begini. Saya ini juga sporting orangnya. Tetapi, semuanya berubah setelah kejadian hitam yang menimpa jambul saya. Masih segar di ingatan bagaimana jambul saya terbakar oleh penunu bunsen di makmal sains. Masih jelas suara kekekan para pelajar yang mentertawakan saya ketika itu. Malu sungguh saya dibuatnya! Seminggu saya bercuti bagi menutup malu! Terpaksalah saya mengubah imej bertudung jambul tersembul bagi menutup kesan terbakar rambut saya itu. Sampai ke hari ini para pelajar masih berspekulasi sama ada jambul saya yang terlebih kembang ini adalah asli ataupun palsu. Hmm…biarlah rahsia!

Saya tahu para pelajar ramai yang tidak menyukai saya. Sudahlah garang, suara pula kuat menyamai dentuman petir. Yalah! Siapa suruh mereka semua melanggar disiplin? Kalau bersalah, mesti dihukum! Hakikatnya, saya ini luaran sahaja nampak garang seperti singa betina. Tetapi, hati saya masih berperikemanusiaan. Semua itu saya lakukan demi anak-anak murid saya.

Kalau masih ingat, sayalah yang dengan rela hati membantu Syazel Zulkarnain mengurangkan berat badan di dalam Aku Mahu Saiz XL. Saya juga yang bertolak ansur membenarkan adik lelaki Manjalara agar berada di dalam kawasan sekolah kerana ibunya sedang sakit. Tetapi, para pelajar tidak melihat semua itu. Mereka hanya tahu saya ini garang seperti singa betina. Biarkanlah, niat saya hanya mahu mendidik anak bangsa menjadi warga yang berdisiplin. Apabila mereka berjaya, saya juga tumpang gembira.




Assalamualaikum murid-murid. Apa khabar semua warga Sri Bangsar? Nama saya Puan Hajah Zaiton binti Abu Bakar. Saya merupakan pengetua Sekolah Sri Bangsar. Saya berasa sungguh bangga dan bertuah menjadi pengetua sekolah yang berprestij seperti Sekolah Sri Bangsar ini.

Saya sudah menganggap kesemua pelajar di sekolah ini bagaikan anak-anak saya. Saya pula seperti ibu mereka yang menjaga kebajikan mereka. Memang macam-macam karenah yang saya perlu hadapi, tetapi itulah cabarannya menjadi peneraju sekolah. Apa-apapun, saya tetap sayangkan semua anak murid saya.
Saya tidak suka menggunakan kekerasan apabila menghukum pelajar. Saya lebih suka menggunakan pendekatan lemah lembut. Tetapi, itu tidak bermakna saya tidak tegas terhadap mereka. Disiplin para pelajar memang amat saya pentingkan. Mujur sahaja ada Cikgu Amnah yang sudi membantu dengan penuh berdedikasi.

Walaupun semua guru dan pelajar menghormati saya, tetapi ada satu perkara yang saya amat tidak suka. Saya tidak suka kucing! Saya sangat takut dengan kucing. Paling menyeramkan jika kucing berbulu gebu datang bergesel di kaki saya. Boleh melompat ke atas kerusi saya dibuatnya. Janganlah rahsia saya ini diketahui oleh semua pelajar. Kalau tidak, jatuhlah kredibiliti saya.




Assalamualaikum dan salam sejahtera semua! Nama saya Shazarina Azman. Tetapi, kawan-kawan saya memanggil saya dengan panggilan yang lebih mesra iaitu Ina. Saya merupakan gadis comel berkaca mata yang periang dan suka membuat lawak. Tetapi itu semua hanya di hadapan sahabat baik saya iaitu Farah. Di hadapan guru dan pelajar lain, saya lebih suka berdiam diri dan pasif. Orang kata saya ini low-profile. Senang dan bahagia sahaja hidup saya. Tidak perlu risau kehidupan peribadi saya diganggu. Saya membuat kemunculan sulung di dalam novel Aku Mahu Popular. Saya juga membuat kemunculan di dalam novel Aku Mahu Superbibik, Aku Mahu Jadi Hijabistar dan yang terkini, di dalam Aku Mahu Seoulmate sebagai watak utama!

Ibu bapa saya, Encik Azman dan Puan Mastura merupakan ahli perniagaan yang berjaya. Mereka memiliki dua cawangan restoran yang beroperasi di Damansara Height. Saya juga ada seorang abang dan adik lelaki. Abang saya bernama Amir dan adik lelaki saya bernama Azim. Saya seorang sahaja anak perempuan di dalam keluarga. Abang Amir itu sebenarnya sudah jatuh hati dengan sahabat saya iaitu Farah. Ewah ewah ada hati hendak menggatal dengan pelajar sekolah? Saya tidak akan benarkan sahabat baik saya jatuh ke tangan abang saya!

Oh, tetapi saya juga ada menaruh hati kepada seseorang. Namanya…hehehe…namanya ialah….alah segan pula saya dibuatnya. Nama jejaka idaman saya ialah Tengku Affin! Tom Cruise Sri Bangsar yang terkenal itu. Tetapi, apakan daya, perasaan ini bertepuk sebelah tagan sahaja. Jangan haraplah Tengku Affin yang popular itu mahu memandang saya yang biasa-biasa ini. Hmm….biarlah masa menentukan segalanya. Lebih baik saya fokus kepada pelajaran dan mengejar cita-cita saya dahulu.




Assalamualaikum semua. Apa khabar? Saya Farah Aryani binti Jamaludin. Boleh panggil saya Farah sahaja. Saya muncul buat pertama kalinya di dalam novel Aku Mahu Popular sebagai watak utama. Di penghujung novel tersebut, saya telah insaf dan mula bertudung. Oleh itu, saya sekali lagi menjadi watak utama di dalam novel Aku Mahu Jadi Hijabistar. Saya juga pernah muncul di sebagai watak sampingan di dalam novel Aku Mahu Superbibik, Aku Mahu Buli, Perang Rumah sukan dan Juara Rumah Sukan.

Bapa saya, Dr. Jamaludin memiliki PHD di dalam bidang perubatan. Ibu saya pula bernama Puan Hamidah merupakan seorang peguam. Saya juga bercita-cita mahu menjadi seorang doktor seperti ayah saya satu hari nanti. Oh ya! Lupa pula hendak beritahu. Di sekolah, saya ada seorang rakan karib yang sangat saya sayangi. Dialah sahabat saya dunia akhirat! Namanya Ina. Kami berdua sudah seperti adik beradik. Cita-cita kami juga serupa, mahu menjadi doktor. Sebab itulah kami belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai keputusan cemerlang. Saya sangat sukakan subjek Matematik. Markah saya sentiasa 90 ke atas sehinggakan Puan Hajah Zabedah, ketua panitia Matematik sekolah juga menjadikan saya sebagai pelajar kesayangan. Hehehe

Di sekolah, ada seorang jejaka yang begitu menggamit perasaan saya. Setiap kali saya memandang ke arahnya, jantung saya pasti akan berdegup kencang. Siapakah jejaka itu? Tidak lain tidak bukan tentulah Fahrin, atlet sekolah paling terulung di Sri Bangsar! Oh, kacaknya dia! Hmm…tetapi dalam masa yang sama, abang Ina yang bernama Amir itu menaruh hati kepada saya. Peningnya….tidak tahu hendak memilih yang mana satu. Eh? Apakah yang saya merepek ini? Lebih baik saya tumpukan kepada peperiksaan SPM terlebih dahulu. Masih jauh lagi jika mahu memikirkan soal jodoh dan cinta. Saya mahu mencapai cita-cita saya terlebih dahulu.




Hai semua! Saya Fahrin. Nama penuh saya ialah Fahrinuddin Faiz bin Rahiman. Saya membuat kemunculan pertama di dalam novel Aku Mahu Popular. Kemudian, oleh kerana saya ini tersangatlah terkenal, maka saya muncul lagi di dalam beberapa buah novel yang lain seperti Perang Rumah Sukan, Juara Rumah Sukan dan Aku Mahu Buli.

Saya merupakan kapten rumah Merah dan atlet paling termahsyur di Sekolah Sri Bangsar. Boleh dikatakan saya ini adalah jejaka terhangat di sekolah. Mana ada jejaka lain yang lebih meletup berbanding saya? Siapa? Tengku Affin? Mamat skema yang suka control macho itu bukan lawan sayalah. Saya paling hebat di sekolah! Apatah lagi jika masuk bab sukan dan olahraga. Sayalah jaguhnya! Saya juga mempunyai orang kanan yang juga merupakan timbalan kapten rumah Merah iaitu Yusry. Dialah ‘buddy’ saya di sekolah yang paling dipercayai.

Selain itu, saya juga sangat rapat dengan semua ahli The Wannababes. Saya memang selalu mendampingi kumpulan pelajar perempuan paling popular itu. Maklumlah, kami sama-sama terkenal. Saya juga ada mendengar gosip bertiup mengatakan saya bercinta dengan Fasha, ketua The Wannababes itu! Hahahaha sebenarnya kami cumalah teman tapi mesra sahaja. Itu semua hanyalah gosip. Orang terkenal seperti kami memang selalu menjadi mangsa gosip.

Kalau hendak tahu, saya jugalah rakan subahat yang sering bersekongkol melaksanakan segala segmen buli membuli anjuran The Wannababes! Otak mereka memang geliga sungguh apabila merancang perbuatan jahat. Seronok betul saya setiap kali dapat membantu dalam melaksanakan rancangan jahat mereka. Secara tidak langsung, saham saya juga meningkat jika sentiasa bersama dengan mereka. Sayalah Fahrin, jejaka idaman Sri Bangsar!




Apa khabar semua? Nama saya Tengku Affin. Boleh panggil saya Affin sahaja. Saya merupakan seorang pengawas di sekolah. Tetapi, tidaklah memegang jawatan penting. Hanya pengawas biasa sahaja. Saya juga merupakan kapten rumah Biru di Sekolah Sri Bangsar. Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan di bawah pucuk pimpinan saya, saya tetap berbangga kerana kami telah berusaha sehabis baik. Apa yang penting bukanlah kemenangan, tetapi semangat yang ditonjolkan.

Di sekolah, ramai yang selalu memuji saya. Kadang kala sampai malu saya dibuatnya menerima semua pujian melambung tersebut. Saya hanyalah pengawas dan atlet sekolah sahaja. Bukanlah orang ternama seperti The Wannababes. Saya dengar pelajar di sekolah memanggil saya dengan panggilan Tom Cruise Sri Bangsar. Aduh, biar betul? Saya rasa Tom Cruise itu terlalu kacak untuk dibandingkan dengan saya. Saya biasa-biasa sahaja.

Ayah saya Tengku Suhaimi memiliki darah kerabat diraja negeri Perak. Ibu saya pula bernama Toh Puan Sri Tunku Tiara merupakan dua pupu kepada keluarga sultan Perak. Rasanya memang pekat darah kerabat diraja negeri Perak yang mengalir di dalam tubuh saya ini. Tetapi saya sedikit pun tidak pernah berasa bangga mahupun riak dengan status saya ini. Bagi saya, semua manusia adalah sama sahaja.

Kalau hendak tahu, ibu saya adalah peminat nombor satu rawatan botox. Memanglah cantik, tetapi ia bukanlah kecantikan semula jadi. Saya lebih menghargai kecantikan sejati wanita yang semula jadi tanpa sebarang solekan. Harap-harapnya bakal isteri saya nanti tidak menggunakan botox!




Hai semua! Nama saya ialah Fazura Hazura binti Hazim. Boleh panggil saya Fazura. Hanya ahli The Wannababes sahaja yang boleh memanggil saya dengan nama singkatan Faz. Oh ya! Tengku Affin juga boleh memanggil saya Faz supaya lebih dekat di hati. Saya juga muncul pertama kalinya di dalam novel Aku Mahu Popular. Sejak itu, saya hanya memegang watak sampingan sahaja di dalam kebanyakan siri Aku Mahu yang lain. Cuma di dalam novel Aku Mahu Jadi The Wannababes dan Aku Mahu Seoulmate sahaja saya memegang watak utama. Oh, terasa diri ini begitu popular sekali.

Ayah saya memiliki darah keturunan susur galur kerajaan negeri Perak. Ibu saya bernama Puan Fredawati dan sangat berpengaruh dalam kalangan isteri-isteri kerabat diraja. Secara tidak langsung, darah kerabat diraja juga mengalir di dalam tubuh saya. Well, people hate me because I’m perfect!
Saya ada seorang adik perempuan yang menjengkelkan bernama Fazira. Umur kami jauh berbeza, jadi saya memang tidak boleh masuk satu kepala dengan adik saya itu. Budak hingusan begitu memang menyusahkan orang sahaja! Huh!

Walaupun saya ahli terakhir yang menyertai The Wannbabes, tetapi tidak bermakna saya kurang berpengaruh seperti yang lain ya. Saya berperanan sebagai Accessories Advisor di dalam The Wannababes. Tanggungjawab saya adalah meramal trend terkini aksesori yang bakal menjadi kegilaan remaja. Kiranya saya samalah juga sepert trendsetter. Dahulunya saya merupakan ahli rumah kuning, tetapi oleh kerana semua ahli The Wannababes merupakan ahli rumah biru, saya juga turut sama berhijrah ke rumah biru. Barulah sehati sejiwa!

Saya juga seorang yang jujur. Jika saya tidak suka, saya akan terus terang mengatakan bahawa saya tidak suka! Jadi, maaflah jika ada yang pernah terasa dengan saya ya? Sememangnya awak semua yang salah. Saya sentiasa betul! Saya ini nampak sahaja kasar, tetapi sebenarnya lemah lembut. Terutama sekali apabila berada di hadapan Tengku Affin. Oh Tengku Affin…kacaknya awak! Saya beritahu siap-siap ya, semua pelajar di Sri Bangsar tahu betapa saya sangat menggilai Tengku Affin! Jadi, para pelajar lain sila jauhkan diri daripadanya! Dia saya punya!




Apa khabar semua? Semoga semuanya kekal sihat dan cantik manis seperti saya ya? Nama saya Siti Nurlinda binti Ratfar. Saya memegang jawatan Ketua Gosip di dalam kumpulan The Wannababes. Saya pernah muncul di dalam kebanyakan siri Aku Mahu seperti ku Mahu Popular, Aku Mahu ke New York dan Aku Mahu Buli. Saya merupakan ahli The Wannababes yang paling ayu dan manis senyumannya. Kalau hendak tahu, Cikgu Ghazali itu juga pernah menghantar surat cinta kepada saya! Sampai begitu sekali penangan kemanisan wajah saya yang seperti gula ini. I’m sweet as sugar! I’m pretty, don’t sue me!

Ibu bapa saya tidak menetap di Malaysia. Mereka menguruskan perniagaan keluarga di luar negara. Di sini, saya tumpang menetap di rumah pak cik saya di Kondo Tivoli Villas, Bangsar. Kawasan kondo itu memang mewah! Siap ada swimming pool yang luas! Sebab itu jugalah Fasha terkagum dengan profil diri saya sehingga diserap menjadi ahli The Wannababes.

Tetapi, semua itu hanyalah khayalan dan rekaan minda saya semata-mata. Hakikatnya, saya hanyalah orang biasa. Semuanya terjawab dan terbongkar di dalam buku Aku Mahu Adik Manja yang menampilkan saya sebagai watak utama. Ayah saya bernama Ratfar bin Taib dan lebih mesra dipanggil Pak Par. Beliau hanya bekerja makan gaji sebagai kerani awam. Emak saya pula bernama Zainab binti Deraman dan lebih selesa dipanggil Mak Nab. Beliau berniaga nasi lemak dan kuih muih di warung tepi jalan. Saya juga ada seorang adik perempuan bernama Yati yang berbeza umurnya sebanyak 10 tahun dengan saya. Kami semua menetap di kawasan setinggan di pinggir Bangsar.

Namun, kebenaran itu tidak mungkin akan saya bongkarkan kepada ahli The Wannababes yang lain! Biarlah saya papa kedana asalkan boleh nampak bergaya seiring dengan The Wannababes yang lain. Rahsia ini akan kekal menjadi rahsia saya seorang sahaja. Jika The Wannababes dapat tahu, nahaslah saya dikerjakan mereka nanti.




Sri Bangsar! Oh Sri Bangsar! We are so besar! We are not kasar! We are perkasa! We are not biasa! We are berbisa! Hah, bagaimana? Suka atau tidak dengan gerak tari dan sorakan yang saya lakukan itu? Oh, maafkan saya, terlupa pula hendak memperkenalkan diri. Nama saya Nur Diana binti Naimi. Kebanyakan pelajar memanggil saya dengan panggilan Diana, tetapi ahli The Wannababes lebih gemar memanggil saya Di. Lebih mesra dan manja begitu! Saya memegang jawatan Ketua Sorak di Sekolah Sri Bangsar, sekaligus menobatkan saya sebagai pelajar perempuan paling cantik dan lincah.

Disebabkan itu juga, saya merupakan satu-satunya ahli The Wannababes yang berambut pendek. Mudah sedikit untuk saya melompat-lompat melakukan pelbagai rutin dan gerakan sorak. Tetapi, saya tidaklah membiarkan rambut saya pendek seperti lelaki. Harus juga dijaga tatarias gaya supaya keanggunan saya sebagai ahli The Wannababes kekal terpelihara. Saya menginspirasikan potongan bob cut seperti yang digayakan oleh selebriti Victoria Beckham. Pendek di belakang, panjang berjuntai di hadapan. Memang bergaya sungguh! Fasha juga suka dengan gaya rambut saya yang trendy ini.

Saya pertama kali muncul di dalam novel Aku Mahu Popular sebagai salah seorang ahli The Wannababes, tetapi watak saya tidaklah begitu menyerlah. Hanya di dalam novel Perang Rumah Sukan dan Juara Rumah Sukan sahaja terlihat sedikit menonjol peranan saya sebagai ketua sorak. Di dalam buku Aku Mahu Buli juga nampak jelas sedikit taring kejahatan saya. Oh ya, lupa hendak beritahu. Mulut saya ini boleh tahan juga laser dan pedasnya. Mungkin tidaklah sepedas mulut Fazura yang becok itu, tetapi bisa laser saya masih mencengkam jiwa raga.

Saya juga dengan selamba memanggil Ahmad Badwi dengan gelaran Hantu Kum Kum di dalam Aku Mahu CK. Semua kerana saya terkejut melihat wajahnya yang menakutkan dan penuh berjerawat! Kalau hendak tahu, sayalah juga yang memberikan nama panggilan Mimi Monira badak air kepada pelajar baru yang gemuk seperti badak itu. Sampai pindah sekolah budak itu kami kerjakan. Siapa suruh dia hempap saya di dalam kelas? Padan muka dia. Seronok betul saya. Maklumlah, The Wannababes memang berkuasa!




Hey, all! Saya Nana Ilyana binti Yusman. Nama popular saya ialah Nana. Saya pertama kali muncul di dalam novel Aku Mahu Popular. Kemudian, watak saya muncul secara sipi-sipi di dalam novel seperti Aku Mahu Lawan Hantu, Jutawan Gedik, Aku Mahu Buli dan paling ketara di dalam Aku Mahu Ke New York 1 dan 2. Saya merupakan ahli kehormat The Wannababes yang memegang jawatan Makeup Advisor. Maklumlah, kulit saya berona sedikit gelap berbanding ahli The Wannababes yang lain. Hendak tidak hendak, saya terpaksalah menggunakan kebolehan bersolek saya bagi menutup kekurangan itu. After all, I have to stay beautiful as a member of The Wannababes!

Papa saya bernama Tuan Yusman dan merupakan seorang kontraktor kelas A yang berpengaruh di Kuala Lumpur. Mama saya pula bernama Puan Liza. Oh, tetapi jangan beritahu sesiapa ya. Yang sebenarnya, mama saya merupakan isteri kedua kepada papa saya. Mereka bernikah di sempadan Thailand. Tetapi, tidak kisahlah. Saya tetap tergolong dalam kelompok anak orang kaya yang bergaya!

Saya ada seorang kakak yang bernama Zana Ilyani. Saya memang tidak suka dengan kakak saya itu! Manakan tidak? Kak Zana itu jauh lebih cantik dan bijak daripada saya. Mama selalu sangat melebihkan Kak Zana berbanding saya. Asyik-asyik Kak Zana sahaja! Menyampah betul! Sebab itulah saya membawa diri dengan menyertai The Wannababes. Sekurang-kurangnya mereka semua menyanyangi saya seperti adik beradik sendiri. Saya sayangkan The Wannababes!

Di sekolah, saya sekelas dengan Diana dan Sazzy di dalam kelas 5 Flora atau lebih dikenali dengan nama 5 Fantastik! Seronok betul dapat sekelas dengan ahli The Wannababes juga. Rasanya seperti kelas itu kami yang punya kerana kamilah yang paling berkuasa di sekolah!




Hey, girls! Girls only! Yang lelaki tidak perlulah menggatal mahu menjawab sama ya. Nama saya Siti Sazzy Atul binti Abidin. Saya pernah muncul di dalam novel Aku Mahu Popular, Aku Mahu Buli, Aku Mahu Superbibik, Jutawan Gedik, Aku Mahu Lawan Hantu, Aku Mahu Ke New York….eh banyak lagilah novel lain yang pernah saya muncul. Saya merupakan pelajar paling trendy di Sri Bangsar. Sebab itu jugalah Fasha melantik saya sebagai Fashion Advisor di dalam The Wannababes! Selain itu, saya merupakan satu-satunya ahli The Wannababes yang berambut kerinting. Mungkin disebabkan keunikan itulah saya kelihatan menyerlah. Oh, bangganya saya! I love my hair so much!

Namun begitu, saya merupakan ahli The Wannababes yang paling rendah. Ketinggian saya hanyalah 156.5cm sahaja! Ish! Tidak tercapailah hasrat saya mahu menjadi model terkenal jika begini! Tetapi, tidak kisahlah. Saya tetap merupakan ahli kehormat The Wannababes yang dihormati. Dapatlah juga saya merasa aura popular di sekolah ini.

Ayah saya bernama Abidin bin Salihin. Beliau berpangkat Brigedier Jeneral dan merupakan pegawai diplomat tertinggi Malaysia di luar negara. Pangkat ayah saya memang tinggi dan berkuasa sekali. Sekali petik jari sahaja ayah saya boleh memberikan arahan kepada orang bawahan yang perlu akur kepadanya. Samalah juga seperti saya di Sekolah Sri Bangsar. Sekali petik jari sahaja semua pelajar dengar cakap saya. Ibu saya pula bernama Puan Esmira. Tetapi saya kurang gemar dengan perangai ibu saya yang garang. Mungkin terkena tempias bakat ayah saya sebagai bekas anggota tentera, ibu saya juga mahu berlagak seperti komander askar juga. Saya bercita-cita mahu menjadi seorang pramugari apabila dewasa nanti. Harap-harapnya cita-cita saya itu tercapai!




Hai semua! Nama saya Nur Shasha binti Dato’ Saidini. Just call me Shasha. Saya pernah muncul di dalam beberapa buah novel seperti Aku Mahu Popular, Aku Mahu Superbibik, Aku Mahu Ke New York dan Aku Mahu Buli. Saya adalah penolong ketua The Wannababes, merangkap orang kanan yang paling dipercayai oleh Fasha. We share each other’s secret like soul sisters. Hmm…saya rasa dalam ramai-ramai ahli The Wannababes, sayalah yang paling tenang dan berfikiran matang. Mungkin sebab itu Fasha memilih saya sebagai penolongnya. Dapat juga saya menjadi orang tengah jika berlaku ketegangan sesama ahli kumpulan. Kalau hendak tahu lebih lanjut betapa pentingnya peranan saya di dalam The Wannababes, bolehlah membaca buku Aku Mahu Jadi The Wannababes. Hanya kerana ketiadaan watak saya di dalam novel itu, semua ahli menjadi kelam kabut.

Ayah saya Dato’ Saidini bin Ali adalah usahawan hartanah yang terkenal di Malaysia. Manakala ibu saya, Datin Rina Kirana adalah bekas model dari Singapura. Sebab itulah wajah saya cantik dan mulus sahaja. Saya mewarisi genetik cantik jelita ibu saya. Beruntungnya saya!
Walaupun saya merupakan orang kedua terpenting di dalam The Wannababes, tetapi saya tidaklah terlalu gilakan barangan berjenama seperti The Wannababes yang lain. Tetapi, saya lebih suka menghabiskan wang dengan membeli kucing baka Norweigian Forest yang berbulu lebat dan gebu seperti kapas! Harganya pula memang mahal sehingga mencecah sehingga RM3,000 seekor! Tetapi itu bukanlah masalah besar bagi saya. Saya ada banyak duit. Sepuluh ekor kucing pun saya sanggup beli.

Oh! Saya memang sangat sukakan kucing! Setakat ini saya sudah ada dua ekor kucing. Seekor berbaka Norweigian Forest yang diberi nama Anggun, dan seekor lagi kucng berbaka Parsi yang bernama Lily. Lily berwarna putih bersih dan bermata biru. Memang cantik jeita seperti saya juga. Daripada membazir membeli beg tangan berjenama, lebih baik saya manjakan Anggun dan Lily. I love my cats so much!




Hai! Nama saya Fasharina. But you can call me Fasha. Saya adalah ketua kepada kumpulan paling berkuasa di Sekolah Sri Bangsar iaitu The Wannababes! Ia dianggotai oleh best friends forever saya iaitu Shasha, Linda, Sazzy, Diana, Nana dan Fazura. Orang kata kami semua ini gedik, tetapi saya tahu mereka semua cemburukan kami yang cantik ini.

Saya muncul buat pertama kalinya di dalam novel AKU MAHU POPULAR. Sejak kemunculan saya di dalam novel itu, ramai pula yang telah menjadi peminat saya. Jadi, saya telah membintangi kebanyakan novel dalam siri AKU MAHU. Cubalah selak helaian buku AKU MAHU. Pasti akan kelihatan nama saya. Oh, saya memang terkenal!

Pada waktu lapang, saya sangat suka membeli belah dan bergosip bersama The Wannababes. Saya menggemari minuman caramel macchiato dari Starbucks dan juga jenama mewah seperti LV, PRADA dan GUCCI. Kalau hendak tampil bergaya, mestilah menggunakan barangan berjenama mewah!
Ayah saya Tan Sri Hisham merupakan seorang tokoh perniagaan terkenal. Tetapi, dia selalu sibuk sehingga langsung tiada masa untuk keluarga. Ibu saya pula bernama Toh Puan Sri Zazarina. Kami sekeluarga tinggal di rumah banglo mewah tiga tingkat yang beralamat di No. 8, Jalan Ara, Taman Sri Bangsar. Kalau hendak menghantar surat ataupun hadiah, bolehlah dihantarkan ke alamat ini ya.

Tetapi, ibu bapa saya sangat suka bergaduh macam anjing dengan kucing! Pantang berjumpa mesti mahu bertikam lidah. Tiada gunanya hidup di dalam rumah besar tetapi tidak bahagia! Disebabkan itu jugalah saya lebih rapat dengan Pak Mad, pemandu yang sudah saya anggap seperti keluarga sendiri. Eh, tetapi perihal ibu bapa saya ini adalah rahsia sulit ya! Jangan beritahu sesiapa.

4 ulasan:

  1. Nama saya Lena, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada doktor yang hebat saya yang benar-benar membuat hidup saya yang menyeronokkan satu hari ini. Ini lelaki yang hebat DR IREDIA membawa suami saya kembali kepada saya, saya mempunyai tiga kanak-kanak yang indah untuk suami saya. Kira-kira empat tahun yang lalu, saya dan suami saya telah menjadi satu pergaduhan yang lain sehingga dia akhirnya meninggalkan saya untuk seorang wanita. Saya rasa hidup saya telah tamat dan anak-anak saya fikir mereka tidak akan melihat bapa mereka lagi. saya cuba untuk menjadi kuat hanya untuk anak-anak tetapi saya tidak boleh mengawal rasa sakit yang menyeksa hati saya, hati saya dipenuhi dengan kesedihan dan kesakitan kerana saya benar-benar cinta dengan suami saya. Setiap hari dan malam i menganggap beliau dan sentiasa ingin dia akan datang kembali kepada saya, sehingga satu hari i bertemu rakan baik saya yang juga dalam keadaan seperti saya tetapi masalah beliau adalah bekas teman lelaki yang dia mempunyai kehamilan yang tidak diingini untuk dan teman lelakinya enggan bertanggungjawab dan dibuang itu. dia memberitahu saya bahawa saya adalah kes kecil dan bahawa saya tidak perlu bimbang tentang hal itu sama sekali, jadi saya bertanya apa penyelesaian kepada masalah saya dan dia memberikan saya alamat e-mel orang yang hebat ini. i telah meragui jika orang ini adalah penyelesaian, jadi saya dihubungi lelaki yang hebat ini dan dia memberitahu saya apa yang perlu dilakukan dan i perbuatan mereka semua, beliau memberitahu saya menunggu selama dua hari dan bahawa suami saya akan datang merangkak di kneels untuk mohon ampun saya jadi saya dengan setia itu apa yang manusia besar ini meminta saya untuk melakukan dan yang pasti selepas dua hari saya mendengar ketukan di pintu, dalam terkejut besar saya i nampak dia di kneels dan i terkedu, apabila dia melihat saya, semua dia menangis dan meminta saya untuk pengampunan, dari hari itu, semua kesakitan dan kesedihan di dalam hati saya terbang, sejak itu saya dan suami saya dan anak-anak yang indah kami gembira dan kita hidup sebagai satu keluarga. Sebab itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada DR IREDIA pertolongannya. Ini lelaki besar yang dibuat saya untuk memahami bahawa tidak ada masalah di bumi yang tidak mempunyai penyelesaian jadi jika anda tahu bahawa anda mempunyai masalah yang sama atau mana-mana masalah yang sama, saya akan menasihati anda untuk datang terus ke lelaki yang hebat ini. Hubungi dia dengan e-mel ini (drirediaherbalhome@gmail.com) dia ada untuk membantu anda.

    BalasPadam
  2. Wahhh ! #TrulyBlinkers

    BalasPadam